Saturday, July 25, 2009

JEMPUTAN KE MAJLIS ISRA' & MIKRAJ DAN AQIQAH

Tarikh : 26hb. Julai 2009 bersamaan 5 hb. Syaaban 1430 H
Hari : Ahad (Malam Isnin)
Masa : SELEPAS SOLAT MAGHRIB

Agenda Majlis:

8.30 pagi : Sembelih lembu dan melapah
1.23 tgh : Solat Zohor berjamaah
1.30 tgh : Gotong-royong masak-memasak
6.45 ptg : Kehadiran para jamaah muslimin & muslimat
7.00 mlm : Ketibaan Penceramah Jemputan
7.30 mlm : Solat Maghrib berjamaah
7.45 mlm : Ceramah bermula, bertemakan "Isra' wal Mikraj"
8.44 mlm : Solat Isya' berjamaah
9.00 mlm : Jamuan makan (kenduri aqiqah)

Semua muslimin & muslimat Taman Seroja 3 & 5 serta para jemputan dengan sukacitanya dijemput hadir bagi memeriahkan lagi majlis di surau kita ini.
Wassalam
Shah Juhan b. Hj. Shapii
Pengerusi Surau Hayatul Islam

Wednesday, July 22, 2009

Yang Baik Itu Istiqamah

Buatlah amal kebajikan biarpun sedikit namun berterusan atau istiqamah. Bukannya amalan yang berbentuk bermusim atau ikut rasa, ikut selera, ikut hati...

Tuesday, June 16, 2009

Renungan Hari Ini

Water lilies

Daripada Abdullah bin Umar r.a., Nabi s.a.w bersabda; "Sesiapa yang berbuat baik kepada kamu, berilah balasan yang setimpal kepadanya. Jika kamu tidak dapat mendapati (sesuatu yang setimpal untuk membalasnya), berdoalah sehingga kamu mengetahui bahawa kamu telah membalasnya (mengulangi doa sehingga kamu menyangka bahawa haknya telah ditunaikan)."

Monday, June 15, 2009

Renungan Hari Ini

winter

"Sesungguhnya, pada pertukaran malam dan siang itu dan pada
apa yang diciptakan oleh Allah di langit dan di bumi benar-
benar terdapat tanda-tanda (kebesaran) bagi orang-orang yang
bertakwa." (Ayat 6 : Surah Yunus)

Sunday, June 14, 2009

Renungan Hari Ini

blue hills
Daripada Ibnu Umar r.a., bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda: Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehinggalah mereka mengaku tiada tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad itu Rasulullah, dan mendirikan sembahyang, memberi zakat, maka jika mereka melakukan semua itu akan terselamatlah darah dan harta benda mereka dariku, kecuali yang mana ada hak Islam padanya dan perkiraan mereka terserahlah kepada Allah taala.

Saturday, June 13, 2009

Renungan Hari Ini

sunset

"Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak pinak, pangkat dan pengaruh). Sehingga kamu masuk kubur, jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati! Sekali lagi (diingatkan) : jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!"

Tuesday, April 28, 2009

AQIQAH UNTUK ANAK

Pengertian

Aqiqah pengertian dari segi bahasa ialah rambut dikepala kanak-kanak. Sementara pengertian aqiqah dari segi syara ialah binatang yang disembelih pada hari mencukur rambut bayi. Aqiqah sebagai ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah s.w.t. sebagaimana penjelasan Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya yang bermaksud: "Setiap anak yang lahir itu terpelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ketujuh (daripada hari kelahirannya), dicukur dan diberi nama." (Riwayat Abu Dawud, al-Turmuzi dan Ibnu Majah)

Hukum Aqiqah

Hukum aqiqah itu adalah sama dengan ibadah qurban iaitu Sunnat Muakkad kecuali dinazarkan menjadi wajib.

Anak lelaki disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan memadai dengan seekor kambing. Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Rasulullah s.a.w. memerintahkan para sahabat agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing. (Riwayat al-Turmuzi). Daripada Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan. bahawa Rasullullah s.a.w. menyembelih aqiqah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing. (Riwayat Abu Dawud) 

Daging Aqiqah

Daging aqiqah digalakkan supaya tidak disedekahkan dalam keadaan mentah, bahkan disunatkan supaya dimasak terlebih dahulu dengan sedikit rasa manis walaupun aqiqah itu aqiqah nazar. Tujuannya ialah untuk bertafa’ul (menaruh harapan baik) terhadap keelokkan perangai dan budi pekerti anak yang diaqiqahkan.Kemudian daging yang telah dimasak itu diberi makan kepada fakir miskin, sama ada dengan dihantar masakan itu ke rumah-rumah mereka atau dijemput mereka itu hadir makan di rumah tempat beraqiqah. Namun yang lebih afdal adalah dihantar masakan tersebut ke rumah-rumah orang fakir miskin.

Sementara itu, sunat bagi orang yang beraqiqah memakan sebahagian kecil daripada daging binatang yang diaqiqahkan, selagi mana aqiqahnya itu bukan aqiqah wajib (aqiqah nazar) atau aqiqah kerana wasiat.Dalam hal memakan, menyedekah dan menghadiahkan daging aqiqah tersebut sama keadaannya dengan korban.

Semasa memotong daging disunatkan supaya jangan dipecah-pecahkan tulang binatang aqiqah itu, bahkan disunatkan supaya mengasingkan tulang-tulang itu mengikut sendi-sendinya. Sebagaimana dalam hadis daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya:

Maksudnya: "Afdal bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing. Dipotong anggota-anggota (binatang) dan jangan dipecah-pecah tulangnya."
(Hadis riwayat al-Hakim)

Ini bertujuan untuk bertafa’ul (menaruh harapan baik) terhadap tulang anak itu nanti tidak pecah dan tidak patah sebagaimana tidak pecah dan tidak patahnya tulang-tulang binatang aqiqah itu.

Waktu Aqiqah

Aqiqah itu sunat dilakukan sebaik sahaja anak dilahirkan dan berterusan sehinggalah anak itu baligh. Ini adalah pendapat yang paling rajih. Apabila anak itu sudah baligh, gugurlah hukum sunat itu daripada walinya dan ketika itu hukum sunat berpindah ke atas anak itu sendiri dalam melakukan aqiqah untuk dirinya sendiri.

Walaupun waktu yang disunatkan untuk beraqiqah itu panjang, tetapi yang afdhal hendaklah dilakukan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya. Sebagaimana dalam hadis daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya maksudnya :

"Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengaqiqahkan Hasan dan Husain pada hari ketujuh, memberikan kedua-duanya nama dan Baginda menyuruh supaya menghilangkan daripada keduanya kesakitan kepala (mencukur rambut kepala)." 
(Hadis riwayat al-Hakim)

Termasuk dalam kiraan tujuh hari itu, hari anak itu dilahirkan. Jika anak itu dilahirkan pada waktu siang sebelum terbenam matahari, maka hari itu dikira satu hari. Sebaliknya jika dia dilahirkan pada waktu malam, maka malam dia dilahirkan itu tidak dikira sebagai satu hari, bahkan kiraan tujuh hari itu bermula daripada hari selepasnya (siang berikutnya).Waktu yang afdhal untuk menyembelih binatang aqiqah itu ialah setelah terbit matahari. 

Melakukan Aqiqah Sebelum Kelahiran

Sebagaimana penjelasan di atas, jika penyembelihan aqiqah itu dilakukan selepas hari ketujuh ataupun sebelum hari ketujuh selepas kelahiran adalah memadai aqiqah tersebut. Ini kerana adanya sebab yang mensyariatkan ibadat aqiqah tersebut iaitu kelahiran anak. Akan tetapi jika aqiqah itu dilakukan sebelum kelahiran anak, maka tidak memadai aqiqahnya itu melainkan ianya hanya dikira sebagai binatang sembelihan biasa sahaja. 

Syarat Sah Aqiqah 

Syarat sah aqiqah ialah:
 -Berniat aqiqah ketika menyembelih.
 -Binatang ternakan berkaki empat iaitu kambing, biri-biri, kibas, lembu, kerbau dan unta.
 -Memenuhi syarat-syarat sembelihan.
 -Tidak terdapat kecacatan pada binatang tersebut
 -Disembelih pada waktunya iaitu hari ketujuh selepas kelahiran @ bila-bila masa sebelum anak tersebut baligh
 -Binatang yang hendak disembelih sudah cukup umur.
 -Binatang yang sudah cukup umur untuk dijadikan Qurban adalah seperti berikut: 


Binatang                         Umur 

Biri-biri/              1 tahun atau lebih 

Kambing              2 tahun atau lebih 

Lembu/kenbau  2 tahun atau lebih 

Unta                     5 tahun atau lebih 


 
 Sunat-sunat Aqiqah ialah: 
    -  Dilakukan pada hari ke tujuh kelahiran
    -  Menyembelih ketika matahari sedang naik (pagi)
    -  Mencukur rambut bayi selepas penyembelihan
    -  Memberi nama yang baik kepada bayi
    -  Berdoa ketika hendak menyembelih
    -  Daging dimasak manis.
    -  Tidak mematahkan sendi tulang binatang tersebut ketika dimasak.
    -  Daging aqiqah disunatkan buat jamuan atau kenduri 

  Hikmah Aqiqah
   - Tanda kesyukuran diberikan kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk menjalankan syariat Islam dan       dianugerahkan anak
   - Menggalakkan amalan sedekah.
   - melepaskan penghalang pada bayi dalam memberi syafaat kepada orang tua mereka
   - Sebagai mengikuti sunnah Rasulullah.
   - Mengukuhkan semangat persaudaraan dalam masyarakat.
   - Membuang sifat kedekut, bakhil dan tamak dalam diri.
   - Memulakan kehidupan seorang bayi dengan amalan yang baik
   - membiasakan berkorban bagi orang tua