Tuesday, September 22, 2009

Dah mula Puasa Enam ke...

(Dipetik daripada tajuk asal : "Puasa Enam di bulan Syawal") dari laman blog: http://nuryanie.blogspot.com/2008/10/puasa-enam-di-bulan-syawwal.html

Assalamualaikum semua...
Salam aidilfitri dari kami buat semua sahabat...

Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud) : “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawwal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun” (Hadis riwayat Imam Muslim. Kitab Puasa). Hadis ini menjadi hujjah kepada para ulama khususnya dan umat Islam seluruhnya untuk mengamalkan puasa sebanyak enam hari di bulan Syawwal selepas berjaya menempuhi bulan Ramadhan dengan berpuasa sebulan penuh.Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri.
Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaam di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan.Kedatangan bulan Syawwal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya, apatah pula amalan masyarakat kita suka mengadakan kenduri pada musim-musim perayaan.
Pada hari raya, ia mencerna pelbagai jenis makanan bermula dari ketupat rendang sehinggalah kepada nasi minyak.Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah SWT, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawwal walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya.
Bukankah ibadat puasa ini mengikut hadis sebenarnya mengekang nafsu syahwat?Di dalam hadis tadi, Rasulullah SAW menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda.Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawwal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari! Subhanallah. Dan sesungguhnya Allah berhak untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendakiNya.
Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha’ dan puasa enam hari di bulan Syawwal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan pausa yang satu? Syeikh Atiyyah Saqr, mantan Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar ketika ditanya tentang persoalan ini menyatakan bahawa sudah cukup bagi seorang yang ingin melakukan puasa qadha’ dan puasa enam dengan berniat puasa qadha’ dibulan Syawwal, dan ia akan diganjari dengan dua ganjaran sekaligus seandainya dia bertujuan demikian dengan syarat dia perlu mendahulukan niat puasa qadha’ terlebih dahulu. Ini adalah kerana puasa qadha’ adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.
Kebanyakan ulama Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha’ sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berniat kedua-duanya.Di dalam kitab As-Syarqawi ‘Alat Tahrir yang dikarang oleh Syeikh Zakaria Al-Ansori dinyatakan bahawa jika seseorang berpuasa qadha’ yang tertinggal di bulan Ramadhan atau bulan selainnya, atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawwal, maka ia akan tetap diganjari dengan pahala puasa enam sekalipun ia tidak berniat bahkan jika ia tidak mengetahui sekalipun tentang puasa enam.Ini adalah kerana ia telah mencapai maksud hadis Rasulullah SAW agar berpuasa di bulan Syawwal. Namun, pahala yang diperolehi tentulah kurang daripada orang yang benriat kedua-duanya sekaligus. Beliau mengambil contoh solat tahiyyatul masjid, jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardhu bersama jemaah atau berseorangan, maka dia akan diganjari dengan dua pahala sekaligus iaitu bersama pahala solat tahiyyatul masjid. Ini adalah kerana maksud solat tahiyyatul masjid ialah seseorang bersolat selepas memasuki masjid sebelum ia duduk.Namun, kebanyakan ulama berpendapat bahawa sekalipun pahala puasa enam bersama puasa qadha’ akan diganjari bersama-sama puasa yang satu, seseorang yang melakukan kedua-duanya secara berasingan tetap akan mendapat kelebihan yang banyak di sisi Allah SWT. Ini adalah kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba mencari redha tuhannya.
Persoalan seterusnya, bagaimanakah jika seseorang khususnya wanita ingin berpuasa secara berasingan di antara puasa enam dan puasa qadha’, yang manakah yang sewajarnya didahulukan? Adakah di dalam kes ini kaedah mendahulukan yang wajib dipakai? Syeikh Jaafar Ahmad Tolhawi iaitu salah seorang ulama AL-Azhar menyatakan, puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan di dalam bulan Syawwal sahaja. Adapun puasa qadha’, seseorang itu bebas melakukan di dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tibanya bulan Ramadhan yang akan datang. Ini bertepatan dengan amalan Ummul Mukmin Aisyah RA yang berpuasa qadha’ di bulan Sya’ban dan diperakui oleh Rasulullah SAW dan dikira sebagai sunnah taqririyyah. Namun, jika ia menggabungkan kedua-duanya sekaligus, ia juga diharuskan.
Sebagai kesimpulan, marilah kita sama-sama melakukan ibadat puasa enam yang digalakkan oleh Rasulullah SAW ini. Samada ingin menggabungkan puasa enam dengan puasa yang lain atau ingin melakukannya secara berasingan, itu terpulanglah kepada diri kita sendiri berdasarkan kemampuan yang ada pada diri kita. Apa yang penting ialah kita ingin ia menjadi saksi di hadapan Allah SWT nanti sebagai tanda bahawa diri ini benar-benar ingin mencari dan memburu keredhaanNya. Semoga kita dimasukkan di dalam golongan yang mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Amin.
Ahmad Fadhli bin Shaari,Kuliyyah Dakwah Islamiyyah,Universiti Al-Azhar, Kaherah.24 November 2003 / 30 Ramadhan 1424catatan : pendapat Syeikh Atiyyah Saqr dan Syeikh Jaafar Ahmad Tolhawi dirujuk di dalam laman web; http://www.islamonline.net

Thursday, September 17, 2009

ADAB BERHARI RAYA

Petikan asal bertajuk : "Berhari raya perlu ikut adab"
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli



SEJARAH hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati ada dua hari raya yang disambut oleh bangsa Arab pada masa itu. SEJARAH hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati ada dua hari raya yang disambut oleh bangsa Arab pada masa itu. Apabila Rasulullah bertanya kepada mereka apakah dua hari raya itu, mereka segera menjawab bahawa dua hari raya yang mereka sambut itu adalah perayaan yang diwarisi secara turun temurun daripada datuk nenek mereka.
Lalu Rasulullah menyatakan kepada orang Arab Madinah bahawa Islam menggantikan dua hari raya yang kamu raikan itu dengan dua hari yang lebih bermakna iaitu Hari Raya korban atau Aidiladha dan Hari Raya Fitrah atau Aidilfitri.


Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu adalah satu ibadat. Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna.

Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang, di mana jika dilakukan akan terbatal puasanya. Kerana itu Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu. Kalimat 'fitri' sendiri bermaksud fitrah iaitu dengan kejayaan manusia balik kepada fitrah yang asal. Fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa dan noda.

Oleh kerana ia dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambut hari raya itu sendiri perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu. Apabila saja diumumkan hari raya, maka mulakanlah malamnya dengan aktiviti ibadat. Ini seperti memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani dari Ubadah bin Soib menyatakan bahawa: "Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari kiamat."Pada pagi hari raya dimulakan dengan membersih diri, bersiap-siap untuk ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri dan seterusnya menghidupkan ukhwah dengan kunjung mengunjung di kalangan saudara mara dan sahabat handai.


Perlu diingat Islam tidak pernah mengajar umatnya agar untuk berlebih-lebih atau melampau batas dalam menyambut apa saja perayaan. Ini bermakna Islam menegah umatnya melakukan pembaziran dalam menyambut hari raya seperti boros berbelanja semata-mata untuk bergaya dengan pakaian mahal dan kuih muih terlalu banyak.


Pada zaman Rasulullah, datang seorang sahabat kepada baginda dengan berpakaian serba baru, kata sahabat ini: “Ya Rasulullah, pada tahun ini saya tidak dapat dapat menyambut Aidilfitri." Lalu baginda segera bertanya: "Kenapa wahai saudaraku?" Lelaki itu berkata: “Kerana saya tidak ada baju baru.” Rasulullah kemudian bertanya kepada beberapa sahabat lain, agar sesiapa yang mempunyai baju baru dapat diberikan kepada lelaki tadi. Ini bermakna Islam tidak melarang sesiapa saja untuk bergaya dengan baju baru. Tetapi pengajaran daripada kisah tadi ialah dalam menyambut hari raya tidak semua bernasib baik dengan mempunyai pakaian baru. Lalu, digalak sesiapa yang ingin membuat kebajikan dengan bersedekah apa saja kepada orang yang tidak berupaya.


Konsep hari raya selalunya dikaitkan dengan pembaziran. Membelanjakan wang ringgit untuk membeli secara berlebihan atau membeli sesuatu yang boleh membawa kemudaratan seperti mercun dan bunga api amat salah di sisi agama. Mungkin pembaziran ini berlaku kerana masyarakat kita hidup dalam kemewahan. Sepatutnya rezeki yang lebih itu disumbangkan kepada saudara seagama lain yang mungkin tidak dapat merayakan hari raya seperti kita.


Satu lagi budaya yang lazim berlaku dalam sambutan hari raya ialah pemberian duit raya. Islam tidak melarang pemberian ini, asalkan tidak melampaui konsep pemberiannya itu. Usahlah kita mendidik anak-anak supaya berkunjung ke rumah jiran semata-mata dengan harapan anak akan diberi duit raya ini. Jika sebaliknya, maka pelbagai anggapan dan prasangka buruk diberikan kepada sesiapa yang tidak melazimkan pemberian itu. Misalnya, dikatakan kedekut, tangkai jering dan bakhil.Menyentuh soal wang ini, satu kewajipan yang perlu ditunaikan oleh semua umat Islam menjelang Aidilfitri ialah zakat fitrah.


Wang zakat ini adalah sumbangan yang akan diberikan kepada golongan yang tidak berupaya, miskin, fakir dan sebagainya mengikut lapan asnaf yang ditetapkan syariat.Jika Aidilfitri disambut dengan kegembiraan yang melampau tanpa melihat beberapa pengisian yang disebutkan tadi, pasti tujuan asalnya jauh menyimpang. Kedatangan Syawal sepatutnya menginsafkan Muslimin di sebalik makna kemenangan dan kejayaan dalam sambutan Aidilfitri, kita tidak sepatutnya melupakan tuntutan agama.


P/S; UCAPAN SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI 1430, MAAF ZAHIR DAN BATIN BUAT SELURUH UMAT ISLAM MUSLIMIN WAL MUSLIMAT TIDAK KIRA DI MANA JUA. SEMOGA REDHA ALLAH MENGIRINGI SETIAP LANGKAH, RAHMAT ALLAH MELIPUTI SETIAP INCI RUANG KEHIDUPAN KITA, AMIN!

Sunday, September 13, 2009

ADAB-ADAB BERDOA



Berdoa kepada Allah s.w.t. sangat dianjurkan. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Ghafir :60; mafhumnya,

"Telah berkata Tuhan Kamu, berdoalah kepada-Ku nescaya Aku qabulkan doa kamu."

Mafhum firman-Nya lagi dalam Surah Al-A'raf:55,

"Serulah Tuhan-Mu dengan merendahkan diri dan secara sembunyi-sembunyi."

* Ingatlah wahai muslimin dan muslimat, Baginda Nabi s.a.w. memperingatkan kita bahawa doa kita tidak akan diqabulkan oleh Allah s.w.t. jika kita makan, minum dan melakukan perbuatan-perbuatan haram. - Berdasarkan hadis riwayat Imam Muslim r.a.

* Di dalam kitab Ihya' Ulumiddin, Al-Hujjah Al-Islam Imam Al-Ghazali r.a. berkata, adab berdoa itu ada sepuluh iaitu:-

1. Tunggu pada waktu yang mulia seperti hari Arafah, bulan Ramadhan, hari Jumaat, waktu sahur dan sebagainya.

2. Memilih keadaan yang mulia seperti ketika sujud, di medan jihad, turun hujan dan sebagainya.

3. Mengadap Qiblat.

4. Imbangkan suara, jangan terlalu kuat.

5. Jangan bersajak ketika berdoa, maksudnya jangan melampau-lampau dalam susunan kata.

6. Merendah diri, khusyuk dan menyimpan perasaan takut.

7. Bersungguh-sungguh dan yakin doa diqabulkan.

8. Serius ketika berdoa, dan terbaik diulang-ulang sebanyak tiga kali.

9. Mulakan doa dengan menyebut nama Allah s.w.t.

10.Paling penting hendaklah bertaubat, kembalikan barang yang dizalimi dan kembalilah kepada Allah s.w.t.